Sunday, 30 April 2023

Hadis palsu : kelebihan pakai serban ketika solat

 

Solat dua rakaat dengan memakai serban lebih baik daripada tujuh puluh rakaat tanpa memakai serban

TEKS BAHASA ARAB

ركعتان بعمامة خير من سبعين ركعة بغير عمامة.

TEKS BAHASA MALAYSIA

Solat dua rakaat dengan memakai serban lebih baik daripada tujuh puluh rakaat tanpa memakai serban.

STATUS

Palsu

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Hadis ini disebut oleh Syeikh Mashhūr bin Ḥasan Āl Salmān حفظه الله dalam kitab himpunan hadis-hadis lemah dan palsu beliau berjudul Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrīj, di halaman 321, hadis nombor 1694. Kitab ini adalah ringkasan kepada kitab Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah karya Syeikh Muḥammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī (m. 1420H) رحمه الله . Berikut adalah maklumat tentang hadis ini, seperti yang terdapat dalam kitab ini:

(موضوع) عن جابر – رضي الله عنه -، قال: قَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ: ((ركعتَانِ بعمَامَةٍ خيرٌ مِنْ سبعينَ ركعةً بغيرِ عِمَامَةٍ)). [فر، ((الضعيفة)) (5699)].

(Palsu) Daripada Jabir RA, beliau berkata: Rasulullah ﷺ telah bersabda: “Solat dua rakaat dengan memakai serban lebih baik daripada tujuh puluh rakaat tanpa memakai serban.” [Riwayat al-Daylami dalam Musnad al-Firdaus. Lihat Silsilah al-Da'ifah, no. 5699].

RUJUKAN

Muḥammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī, & Mashhūr bin Ḥasan Āl Salmān. (2010). Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrīj. Maktabah al-Ma‘ārif.

MAKLUMAN

Maklumat ini merupakan hasil dari tajaan Badan Kebajikan Islam Telekom Malaysia Berhad, dengan kerjasama Pejabat Mufti Wilayah dan beberapa universiti tempatan. Projek ini diketuai oleh Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan amalan buat semua yang terlibat. Aamiin!

Mohon lapor sekiranya terdapat sebarang kesilapan.

HUKUM MEMAKAI SERBAN DALAM SOLAT


HUKUM MEMAKAI SERBAN DALAM SOLAT

 

Betulkah sunnah tutup kepala setiap masa atau semasa solat sahaja?

Jawapan:

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kopiah adalah tutup kepala bagi orang lelaki yang diperbuat daripada kain tebal, baldu dan sebagainya. Manakala serban pula adalah kain yang diikatkan di kepala seperti yang dipakai oleh haji dan lain-lain.

          Memakai serban dan kopiah adalah sebahagian daripada sunnah Rasulullah . Rasulullah  telah bersabda:

 

                             دخل النبي صلى الله عليه وسلم مكة يوم الفتح وعليه عمامة سوداء

Maksudnya: “Nabi  telah memasuki ke Kota Mekah sewaktu pembebasan Mekah, ketika itu Baginda  memakai serban hitam.”

          Pemakaian serban dan kopiah sudah sinonim dalam masyarakat Islam di seluruh dunia dan ia juga telah dijadikan amalan seharian masyarakat walaupun di luar urusan ibadat terhadap Allah. Justeru itu, adalah sukar bagi sesetengah individu untuk menukar pemakaian serban dan kopiah kepada pemakaian songkok seperti yang biasa dipakai oleh segelintir masyarakat Melayu.

          Menurut Imam Nawawi r.a dalam Kitab         al-Majmuk Syarh al-Muhazzab bahawasanya sah solat seseorang lelaki itu yang tidak menutup kepala.

          Memakai penutup kepala pada asalnya adalah kebiasaan Rasulullah , para sahabat, para ulama dan orang-orang soleh, baik di luar atau di dalam solat. Beberapa riwayat menunjukkan hal ini, di antaranya:

 

                     أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ، فَمَسَحَ بِنَاصِيَتِهِ، وَعَلَى الْعِمَامَةِ، وَعَلَى الْخُفَّيْنِ

Maksudnya: “Nabi  berwuduk, beliau mengusap ubun-ubunnya, mengusap serbannya dan mengusap khufnya.” 

(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

 

                    أنه كان يُصلِّي في العِمامة

Maksudnya: “Nabi  biasanya solat dengan memakai serban.”

(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

 

Walau bagaimanapun, tidak ada perintah atau sumber hukum yang kuat supaya mewajibkan memakai serban atas dasar sebagai salah satu hukum agama dan syariat tetapi barangsiapa yang memakainya dengan niat kasih kepada Baginda , tentulah niat ini mendapat ganjaran pahala. Dalam hadis Rasulullah  disebutkan:

 

                    كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يلبس العمامة على القلانس

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah  memakai serban bersama kopiah.”

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: mufti@terengganu.gov.my

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com

Saturday, 22 April 2023

Sunat hai'ah

 Sunat Hai'ah merupakan perkara sunat ketika solat yang terdiri daripada 14 perkara:

  1. Mengangkat tangan ketika Takbiratul-Ihram, ketika rukuk, ketika iktidal dan ketika bangun pada rakaat kedua. (nota: bangun dari rakaat pertama dan ketiga tidak diperlukan mengangkat tangan)
  2. Meletakkan perut tangan kanan di atas tangan kiri dan memegangnya dan meletakkannya di bawah dada atau di atas pusat.
  3. Membaca doa tawujud/iftitah. Doa iftitah ialah:
    1. :"Allah Maha Besar sebesar-besarnya. Dan puji-pujian bagi Allah sebanyak-banyaknya. Dan Maha Suci Allah siang dan malam. Kuhadapkan mukaku, kepada yang menjadikan langit dan bumi, aku cenderung lagi berserah kepada Allah, dan bukanlah aku dari golongan orang-orang yang menyekutukan Allah. Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku, dan matiku kuserahkan hanya kepada Allah seru sekalian alam. Sekali-kali tidaklah aku menyekutukan-Nya. Dan dengan demikian aku ditugaskan, dan aku adalah dari golongan orang-orang Islam."
    2. : (Wajjahtu Wajhiya Lilladhī Faţara As-Samawāti Wa Al-’Arđa Ĥanīfāan Wa Mā ‘Anā Min Al-Mushrikīna, ‘Inna Şalātī Wa Nusukī Wa Maĥyāya Wa Mamātī Lillāhi Rabbi Al-`Ālamīna, Lā Sharīka Lahu, Wa Bidhalika ‘Umirtu Wa ‘Anā Min Al-Muslimīna)
  4. Membaca A'uzubillah
  5. Membaca Al-fatihah dan surah dengan suara yang kuat pada tempat-tempat dan masa-masa yang ditentukan
  6. Membaca amin selepas fatihah
  7. Membaca surah al-Quran
  8. Membaca tasbih ketika rukuk
  9. Membaca tasbih ketika sujud
  10. Membaca tasbih ketika bangkit dari rukuk
  11. Meletakkan kedua tangan di atas peha dengan melepaskan jari kesemuanya
  12. Duduk iftirasy pada semua duduk iaitu duduk di atas buku lali kaki kiri
  13. Duduk Tawarruk iaitu duduk tahiyat akhir
  14. Salam yang kedua

Mereka yang tertinggal sunat Hai'ah tidak diperlukan sujud sahwi tidak seperti mereka yang tertingalkan sunat Ab'adh.

Thursday, 6 April 2023

Kaitan Di Antara Nombor 786 Dengan Bismillah

 Salam buat semua pembaca blog ku yang budiman... Post entry kali ni adalah untuk menjelaskan bagi  

persoalan yang telah lama bermain di fikiranku... Mungkin juga ada diantara para pembaca yang juga pernah mempersoalkan tentang perkara ini. Jadi post entry ni akan cuba memberi jawapanya. dan berharap anda dapat membacanya sehingga habis bagi kebaikan bersama. Persoalan mengenai nombor 786 bermula setiap kali bila pergi ke kedai mamak untuk pekena roti canai dan teh tarik mesti terpandang padang lambang bulan sabit dan bintang pastu siap ada nombor 786. Bila aku tanya pada orang semua kata ianya adalah melambangkan kallimah بسم الله الرحمن الرحيم  ,bila ditanya bagaimana 3 nombor itu sahaja boleh melambangkan kalimah tersebut , tiada seorangpun yang dapat memberi penjelasan bagi soalan itu..

Nombor 786 yang tertulis dalam lambang bulan dan bintang berasal dari jumlah nilai nisbah huruf 
بسم الله الرحمن الرحيم " . Penggunaan 786 ini dipercayai bermula pada zaman Abasiyyah. Melalui gaya penulisan arab baku, kalimah Bismillah... mengandungi 21 huruf, iaitu 7 (Bismillah ), 8 (Al-Rahman) dan 6 (Al-Rahim ) iaitu 7+8+6=21. 

Dengan menggunakan rumusan nisbah nilai nombor bagi huruf arab tersebut, maka ayat 
بسم الله الرحمن الرحيم dapat digantikan dengan nombor 786. Manakala nama Allah pula dapat digantikan dengan nombor 66 dalam penggunaannya sebagaimana rajah di bawah ini.
       
Nisbah bagi Bismillahir Rahmanir Rahim " dikira sebagai berikut:

2 + 60 + 40 + 1 + 30 + 30 + 5 + 1 + 30 + 200 + 8 + 40 + 50 + 1 + 30 + 200 + 8 + 10 + 40 = 786

Manakala nisbah bagi nama " Allah " dikira sebagai berikut:

alif + lam + lam + ha = Allah

1 + 30 + 30 + 5 = 66

Jadi dari nisbah inilah terhasilnya nombor yang boleh menjadi kekeliruan pada sesetengah orang.. Ada sesetengah pihak yang mempercayai dari nombor ini juga dapat memberi tuah dan bermacam-macam lagi fahaman yang boleh memesongkan akidah kita sebagai umat islam. Ayat dan tulisan dari Al-quran tidak boleh diubah-ubah.

Berikut adalah petikan fatwa yang mengharamkan penggunaan nombor 786 yang dianggap sebagai Basmalah:
Tajuk : Kepercayaan Terhadap Angka 786 Bermaksud  
بسم الله الرحمن الرحيم

Isu : Hukum mempercayai dan menyakini bahawa No 786 adalah
bermaksud بسم الله الرحمن الرحيم

Keputusan :

Alhamdulillah Fatwanya,

Kepercayaan terhadap angka 786 bermaksud  
بسم الله الرحمن الرحيم  , juga menyakini angka tersebut membawa tuah dan nasib yang sentiasa baik adalah satu kepercayaan yang salah dan bertentangan dengan aqidah  
أهل السنة والجماعة dalam syariah serta akhlak Islam.

Perbuatan ini juga termasuk didalam golongan mereka yang mentafsirkan Al-Qur’an mengikut hawa nafsu dan tidak berdasarkan kepada ilmu dan displin-displinnya dan tidak mendapat hidayah Allah S.W.T.

          Semua pihak yang terlibat hendaklah menghentikan kepercayaan dan penggunaan terhadap perkara ini dengan serta merta.

Oleh : Jawatankuasa Lujnah Fatwa Negeri Johor

Nombor 786 bukanlah salah satu ajaran Islam melainkan hanyalah semata-mata bid’ah. 786 hanyalah sebuah nilai yang tidak membawa sesuatu maksud pun malahan ia adalah satu bentuk penghinaan yang nyata sekiranya disamakan maksudnya dengan kalimah suci Basmalah. Sebagai umat Islam yang beriman bertaqwa, sama-samalah kita meninggalkan kefahaman karut ini yang dicipta untuk mengelirukan kefahaman umat Islam terhadap Al-Qur’an.
Wallahua’lam.

Sunday, 2 April 2023

Talak bergegar arasy?

 Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

تَزَوَّجُوْا وَلَا تُطَلِّقُوْا، فَإِنَّ الطَّلَاقَ يَهْتَزُّ مِنْهُ العَرْشُ

Maksudnya: “Berkahwinlah dan janganlah kamu bercerai. Maka sesungguhnya talak (bercerai) itu akan menggegarkan ‘arash.”

Beberapa orang ulama yang faqih dalam ilmu hadis contohnya Imam Ibnu al-Jauzi, Imam al-Saghani, Imam al-Sakhawi dan Imam al-Suyuthi telah memberi komen tentang hadis tersebut dan mengatakan bahawa hadis ini adalah tidak sahih, palsu serta sanad hadisnya dhaif.

Pihak Mufti Wilayah Persekutuan juga menyimpulkan bahawa hadis tersebut adalah tidak sahih dan tidak boleh disandarkan kepada Rasulullah SAW atau meriwayatkannya kepada orang lain bagi membenarkannya.

Selain daripada hadis di atas, ada sebuah lagi hadis yang agak terkenal berlegar dalam kalangan masyarakat Islam berkenaan talak.

Daripada Ibn Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ

Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.” [Riwayat Abu Daud (2178) dan Ibn Majah (2018)

Hadis ini telah diperselisihkan dalam kalangan ulama’ dalam menentukan kesahihannya. Sebahagian ulama’ hadis mengatakan bahawa hadis ini sahih dan sanadnya bersambung dan sebahagian lagi mengatakan bahawa sanadnya tidak bersambung (disebabkan gugurnya nama sahabat yang menjadi perawi dalam hadis ini).

Mereka yang mengatakan bahawa sanadnya tidak bersambung menghukumkan bahawa hadis ini sebagai hadis mursal.

Pihak Mufti Wilayah persekutuan dalam menerangkan hadis ini juga menukilkan kata-kata Imam al-San’ani (1182 H) di dalam kitabnya. Beliau menerangkan status hadis ini dengan berkata:

“Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibn Majah. Ia disahihkan oleh al-Hakim. Akan tetapi, Imam Abu Hatim merajihkan bahawa ia adalah mursal. Begitu juga, al-Daraquthni dan al-Baihaqi merajihkan hadis ini adalah mursal.” [Lihat: Subul al-Salam, 247/2]

Manakala Syeikh Syu’aib al-Arna’outh mengatakan bahawa perawi-perawi bagi hadis ini adalah thiqah (dipercayai) di dalam Kitab Sunan Abu Daud. Namun di akhirnya, pendapat yang paling sahih dari kalangan imam menghukumkan bahawa hadis ini adalah hadis mursal. Pendapat ini turut dipersetujui dan dipegang oleh Pihak Mufti Wilayah Persekutuan.

Hakikatnya masih banyak perkara yang Allah murkai meskipun halal dilakukan, bukan hanya tentang talak. Mengapa? Kerana ada sifat berlebihan dalam perbuatan. Tidak ada keseimbangan – sama ada terlalu sedikit sehingga bermudah-mudah atau terlalu berlebihan sehingga mencapai tahap ekstrem.

Contohnya memarahi anak berlebihan dengan alasan mendidik, makan secara berlebihan sehingga mendatangkan penyakit atau tidak tidur atau berehat secukupnya sehingga mengganggu sistem tubuh badan.

Adapun talak atau penceraian, ia adalah hak yang dipunyai oleh setiap orang yang melangkah ke alam perkahwinan. Nilailah ia dengan bijak sebelum mengambil keputusan.

Sunday, 29 May 2022

TOLAK WAHHABI DAN TAUHID TIGA SERANGKAI Naimz 5:41 pm

 Sebab fundamental kesalahan fahaman Wahhabiyyah adalah kerana mereka berpegang kepada aqidah yang salah. Konsep tauhid tiga serangkai (tauhid uluhiyyah - tauhid rububiyyah - tauhid asma wa sifat) adalah konsep tauhid yang salah dan tidak tepat (sepertimana diterangkan dalam artikel yang saya sertakan di dalam penulisan ini). Kesalahan pada fahaman aqidah bermakna kesalahan dalam memahami hakikat Allah, hakikat Rasul dan hal-hal ghaib. Salah faham akan hakikat Allah dan Rasul, mengakibatkan mereka tidak mampu memahami hakikat kedudukan semua perkara dan manusia lain dalam hubungan mereka terhadap Allah dan Rasul.


Apakah fahaman tauhid tiga serangkai ini sangat salah? Ya. Ayuh kita baca dan hadam penulisan ringkas Panel Penyelidik Yayasan Sofa Negeri Sembilan di bawah untuk kita memahami asas-asas kesalahan fahaman tauhid tiga serangkai.

Mengapa tauhid tiga serangkai?

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN



SEJAK kemasukan Islam ke Tanah Melayu, umat Islam di negara ini kuat berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang disusun atau diformulasikan oleh dua tokoh terbesar dalam bidang ilmu tauhid iaitu Imam Abu al Hasan al Asy’ari r.a. dan Imam Abu Mansur al Maturidi r.a. Perkara ini telah ditegaskan oleh ulama ulung Tanah Melayu, al Allamah Sheikh Abdullah Fahim.

Antara kenyataannya berbunyi: “Tuan-tuan sedia maklum beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu seMelaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas; awam-awam, kadi-kadi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga Raja-raja sekalian mereka itu bermazhab dengan mazhab al Imam al Syafi’e r.a ijma’an (ijmak), tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafi’e. Usuluddin atas perjalanan Abi al Hasan al Asy’ari r.a. Diambilkan dari Syuruh dan Hawasyi Ummu al Barahin dan Jauharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu”.

Di dalam kitab ini, pendekatan Sifat 20 digunakan bagi memahami permasalahan ketuhanan. Pendekatan ini juga diguna pakai di kebanyakan negara-negara Islam yang berpegang dengan akidah ASWJ seperti di Mesir, Syria dan Morocco.


Ia juga menjadi silibus di kebanyakan universiti di dunia Islam termasuklah universiti Islam terulung di dunia, Universiti al Azhar al Syarif.

Sejak doktrin ini diguna pakai di negara kita, kita berupaya mengecapi nikmat keamanan beragama dan ketamadunan negara. Tidak seperti negara-negara Islam lain yang memakai acuan yang bercanggah dengannya seperti aliran fahaman Syiah, Muktazilah, Musyabbihah dan sebagainya.

Tidak timbul di dalam doktrin Sifat 20 ini soal-soal kepincangan dan percanggahannya dengan akidah ASWJ yang tulen


Namun, setelah ratusan tahun pendekatan ini digunakan tanpa sebarang masalah dalam menjaga kemurnian tauhid dan akidah umat Islam, timbul desas-desus yang mengatakan bahawa ia diambil dari Falsafah Greek.

Malah, tidak lagi sesuai dijadikan sebagai pendekatan dalam pembelajaran ilmu Tauhid. Sementelahan itu juga, pendekatan tauhid tiga serangkai yang dirumuskan oleh Ibnu Taimiyyah menjadi pengganti Doktrin Sifat 20.

Usaha-usaha untuk menukar pendekatan tauhid tiga serangkai ini dalam kurikulum pendidikan negara juga nampaknya begitu pantas dilakukan.

Persoalannya, kenapakah tiba-tiba pendekatan ini pula yang perlu dipilih sebagai pengajaran ilmu tauhid di negara kita? Adakah pendekatan Sifat 20 mengandungi unsur-unsur yang mengelirukan atau terseleweng dari iktikad ASWJ?

Adakah pembahagian tauhid tiga serangkai ini telah dinaskan oleh syarak dan terdapat dalil-dalil yang menunjukkan ke atasnya? Apakah kita pasrah sahaja dengan pendapat yang mengatakan doktrin Sifat 20 yang kita pegang dan pakai selama ini bukan tauhid yang benar tetapi diambil dari fahaman falsafah Greek.

Jika begitu, semua orang yang berpegang dengan Tauhid 20 mengikut ajaran yang salah dan sesat. Apakah boleh kita terima penyesatan ini yang melibatkan nenek moyang kita, para ulama kita dan majoriti umat Islam di seluruh dunia?


Dibawa Rasullulah SAW

Kita telah sedia maklum, bahawa akidah ASWJ yang diketahui secara umum ialah akidah yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan diikuti oleh sahabat-sahabat baginda.

Tidak kedapatan langsung, perkataan yang terkeluar daripada Rasulullah SAW dan sahabat baginda yang menyebut tentang tauhid yang digembar-gemburkan oleh pengikut Ibnu Taimiyyah dan Wahhabi ini.

Begitu juga dalam metodologi ASWJ yang telah disusun oleh pelopornya, Imam Abu al Hasan al Asy’ari r.a dan Imam Abu Mansur al Maturidi r.a, tidak pernah menggariskan tauhid ini dalam ruang lingkup akidah ASWJ.

Apa yang kita dapati tauhid ini telah ditimbulkan dan direka oleh Ibnu Taimiyyah dan dikembang biakkan pula oleh anak-anak muridnya sehingga ke generasi Muhammad ibn Abdul Wahhab. Dalam erti kata lain, tauhid inilah yang menjadi pegangan golongan Wahhabi secara khusus.

Sejak dahulu lagi hinggalah ke hari ini, telah terdapat banyak penentangan dan penolakan yang diutarakan oleh ulama terhadap Tauhid 3 Serangkai ini.


Oleh yang demikian, kita melihat di dalam kitab-kitab penulisan ulama ASWJ, terdapat banyak butiran lanjut mengenai penolakan mereka terhadap tauhid yang direka cipta ini.

Jika kita menyoroti dari perspektif ulama tersebut, kita mendapati ulama al Azhar telah bersetuju mengeluarkan kenyataan tentang kesalahan tauhid ini yang sebenarnya telah direka dan dicipta oleh orang-orang yang terkeliru dengan maksud sebenar ayat al-Quran dan hadis.

Justeru, kenapa pula kita perlu memakai pendekatan Tauhid 3 Serangkai yang mengandungi kepincangan dan telah ditolak oleh ulama kecuali Ibnu Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya?

Untuk lebih jelas lagi, di bawah ini disenaraikan beberapa cendekiawan dan sarjana Islam dan kitab penulisan mereka yang mengandungi penolakan terhadap ajaran tauhid rekaan ini:

*Al ‘Allamah al Mufassir al Muhaddith Sheikh Yusof al Dijwi RA, Ahli Lembaga Majlis Ulama Besar al Azhar.

Beliau mengeluarkan fatwa penolakan al Azhar terhadap tauhid rububiah dan uluhiah. Kenyataannya ini dipaparkan dalam Majalah Nur al Islam edisi tahun 1933 yang merupakan lidah rasmi al Azhar pada masa itu.

Fatwa yang dikeluarkannya ini, turut dipersetujui oleh ulama al Azhar yang lain tanpa adanya sebarang bangkangan. Sehingga hari ini, fatwa tersebut masih lagi segar. Ini dapat dilihat dalam beberapa majalah yang diiktiraf oleh al Azhar. Antaranya, di dalam majalah al Muslim. Al Muhaddith al ‘Allamah Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim r.a telah mengeluarkan kembali fatwa ini dalam majalah tersebut.


*Al Muhaddith al ‘Allamah Sheikh Salamah al Qudha’i al ‘Azzami al Syafi’i r.a dalam kitabnya al Barahin al Sati’ah fi Raddi b’ad al bida’ al Syai’ah.

Kitab ini telah mendapat pengiktirafan dan pujian daripada muhaddith pada zaman tersebut iaitu al ‘Allamah Sheikh Muhammad Zahid al Kauthari r.a.

*Al Allamah al Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad ibn Alawi al Maliki al Hasani, ulama besar di Mekah al Mukarramah dan bekas tenaga pengajar Masjid al Haram yang diakui ilmunya oleh ulama pada zaman ini.

Beliau telah menulis penolakannya terhadap tauhid ini dalam kitabnya Huwallah. Bahkan beliau menyarankan kerajaan Arab Saudi supaya mengkaji semula pengajaran tauhid ini di institusi pengajian rendah, menengah dan Tinggi di dalam Muktamar Hiwar al Watoni di Mekah yang diadakan pada 5/11/1424 hingga 9/11/1424. Ia disebut di dalam kertas kerja beliau yang bertajuk al Ghuluw.

*Mufti Besar Mesir, Prof. Dr. Ali Jumu’ah.

Beliau turut menyentuh masalah ini di dalam laman web beliau ketika menjawab soalan yang dikemukakan kepadanya. Iaitu, tentang seorang pemuda yang mengkafirkan seluruh penduduk kampung kerana bertawassul dengan mendakwa orang yang bertawassul tergolong dalam golongan musyrikin yang beriman dengan tauhid rububiah tetapi tidak beriman dengan tauhid uluhiah.

Beliau menolak sekeras-kerasnya pembahagian tauhid ini dengan mengatakan bahawa pembahagian tauhid ini adalah perkara rekaan yang tidak pernah datang dari Salafussoleh tetapi orang pertama yang menciptanya ialah Sheikh Ibnu Taimiyyah.

Beliau juga menyatakan bahawa pendapat yang menyatakan bahawa tauhid rububiah sahaja tidak mencukupi bagi keimanan seseorang adalah pendapat yang diadakan-diadakan dan bercanggah dengan ijmak kaum Muslimin sebelum Ibnu Taimiyyah.

*Prof. Dr. Muhammad Sa’id al Ramadhan Bouti, Ulama Kontemporari Dunia Islam dari Syria.
Beliau menyatakan dengan tegas bahawa pembahagian tauhid ini adalah bidaah dalam Seminar Pengurusan Fatwa Negara-negara Asean anjuran Universiti Sains Islam Malaysia pada pada 16 hingga 17 April 2005 di Hotel Nikko Kuala Lumpur.

*Prof. Dr. Isa ibn Abdullah Mani’ al Himyari - Mantan Pengarah Jabatan Waqaf dan Hal Ehwal Islam Dubai.

Beliau telah menulis mengenai kepincangan pembahagian tauhid ini di dalam kitabnya yang bertajuk ‘al Fath al Mubin fi Bara’at al Muwahhidin min ‘Aqaid al Musyabbihin.

*Al ‘Allamah Abu Abdullah ‘Alawi al Yamani dalam kitabnya Intabih Dinuka fi Khatorin.

Kitab ini telah mendapat pujian dari lima ulama besar Yaman.

*Al ‘Allamah Abu al Hasanain Abdullah ibn Abdur Rahman al Makki al Syafi’i, ulama besar Mekah.

Beliau juga telah membahaskan masalah ini di dalam kitabnya al Qaul al Wajih fi Tanzih Allah Taala ‘an al Tasybih.

*Dr. Sheikh Yusof al Bakhur al Hasani salah seorang ahli fatwa di Kanada juga telah menulis risalah mengenainya.


*Sheikh Sirajuddin Abbas seorang ulama unggul Indonesia, juga menghuraikan masalah ini yang ditulis dalam versi Melayu dalam kitabnya Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

Beliau dengan tegas menyatakan bahawa tauhid ini merupakan iktikad rekaan puak Wahhabi dan bukannya iktikad ASWJ.

Dalam satu petikan, beliau menyatakan: Kaum Wahhabi mencipta pengajian baru ini bertujuan untuk menggolongkan orang-orang yang datang menziarahi Makam Nabi SAW di Madinah, orang-orang yang berdoa dengan bertawassul dan orang yang meminta syafaat Nabi SAW serupa dengan orang kafir yang dikatakan bertauhid rububiah itu.

*Al ‘Allamah Muhammad al ‘Arabi ibn al Tabbani al Hasani, Tenaga Pengajar di Masjid al Haram.

Beliau juga turut menulis kepincangan tauhid ini di dalam kitabnya Bara’ah al Asy’ariyyin min ‘Aqaid al Mukhalifin.

*Dr. Umar Abdullah Kamil, sarjana dan pakar ekonomi Arab Saudi serta ahli eksekutif Universiti al Azhar.

Beliau pernah membentangkan kebatilan konsep Tauhid 3 Serangkai ini di dalam Seminar Perpaduan Ummah dan Pemurniaan Akidah anjuran Kerajaan Negeri Pahang pada 25-26 Ogos 2006 dan di Multaqa 3 Ulama Mekah al Mukarramah yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Johor pada 20 Februari 2008.

Kertas kerja tersebut telah diterbitkan oleh Sekretariat Penjelasan Hukum Berkenaan Isu-isu Aqidah dan Syariah Majlis Agama Islam Johor.

Beliau turut membahaskan kepincangan pembahagian tauhid ini di dalam kitabnya yang bertajuk Kalimah Hadi’ah fi Bayan Khata’ al Taqsim al Thulasi li al Tauhid (Perkataan yang tenang dalam menjelaskan kesalahan pembahagian yang tiga bagi ilmu Tauhid).

*Al Allamah Abdur Rahman Hasan Habannakah al Maidani.

Beliau juga telah menulis masalah ini secara khusus di dalam kitabnya yang bertajuk Tauhid al Rububiah wa Tauhid al Ilahiyyah wa Mazahib al nas bi al Nisbah Ilaihima.

Ulama-ulama ini telah lama melakukan pengkajian dan penelitian rapi terhadap tauhid tiga serangkai ini.

Kepada pembaca yang prihatin dan bijaksana sebaik-baiknya mendapatkan keterangan lanjut dari kitab-kitab ini terlebih dahulu sebelum berani membuat kesimpulan dan melontarkan pendapat di khalayak ramai.

Asas sahih

Perkara agama apatah lagi berkaitan dengan akidah tidak boleh dibuat kesimpulan sebarangan tetapi perlu merujuk kepada asas yang sahih.

Untuk mempertahankan agama tidak cukup bermodalkan semangat juang dan sijil menjela-jela semata-mata sehingga kita terpekik dan terlolong tidak kena pada tempatnya tetapi memerlukan kemantapan ilmu, kecemburuan terhadap penodaan yang dilakukan ke atas agama dan umatnya, keikhlasan kepada Allah dan hati yang disinari cahaya oleh Allah.


Ibnu Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya didapati telah menjadikan konsep pembahagian tauhid ini sebagai batu loncatan untuk mengkafirkan umat Islam.

Mereka telah mengkafirkan orang-orang yang bertawassul dengan Rasulullah SAW dan wali-wali, orang-orang yang menziarahi kubur dan sebagainya dengan dakwaan orang yang melakukan pekerjaan tersebut bertauhid dengan tauhid rububiah sahaja tetapi tidak tidak bertauhid dengan tauhid uluhiah.

Mereka menyamakan tauhid yang dimiliki oleh orang-orang yang melakukan pekerjaan ini sama dengan orang musyrikin yang menjadikan berhala sebagai sampingan mereka dengan Allah.

Apakah pernah ketika Rasulullah SAW berdakwah, Baginda SAW mengatakan kepada orang yang memeluk Islam kamu telah mempunyai tauhid rububiah tetapi masih belum memiliki tauhid uluhiah?

Apakah boleh kita katakan orang bukan Islam juga mempunyai tauhid seperti orang Islam atau ahli tauhid?

Objektif tauhid Asma’ dan Sifat digembar-gemburkan untuk menyandarkan kepada Allah SAW makna perkataan tangan, mata, bersemayam, ketawa, turun dan sifat penyerupaan yang lain kepada makna yang hakiki yang dikenali di sisi makhluk.

Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sifatkan kerana yang demikian itu menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya.

Sehubungan dengan ini, umat Islam diseru agar sama-sama berfikir dan meneliti dengan hati yang lapang dan dada yang terbuka rasional perkara ini.

Kita seharusnya berbangga dengan ramainya bilangan umat Islam dan berusaha menambah bilangan umat Islam tetapi sebaliknya kita sendiri yang mengecilkan lagi kuantiti umat Islam yang semakin hilang kualitinya hanya kerana permasalahan uluhiah dan rububiah yang sengaja ditimbulkan.

Tidak ada suatu perkara yang lebih buruk daripada mengkafirkan orang Islam yang menyebut kalimah tauhid Laa ilaaha illallah dan mentasdiqkannya di dalam hati.


Banyak kemusnahan yang berlaku di negara-negara Islam disebabkan oleh perkara ini. Kita sendiri telah menyaksikan dengan mata kepala kita bagaimana persengketaan umat Islam telah mencetuskan kelemahan dan kemusnahan terhadap negara-negara Islam seperti di Afghanistan, Yaman, Lebanon, Syria, Mesir dan sebagainya.

Semoga persengketaan dan kehancuran ini tidak terjadi di negara kita Malaysia yang tercinta ini. Justeru, sewajarnya pembahagian ini dibentangkan di atas meja perbincangan secara ilmiah dan profesional serta berlandaskan kepada usul kitab dan sunnah.

Ini hanyalah lontaran awal dari hasil penelitian kami yang dirujuk kepada sumber-sumber yang sahih dan tokoh-tokoh ulama yang berkeahlian. Insya-Allah, penerangan lanjut mengenai tauhid ini akan dikeluarkan pada keluaran akan datang.

Bahan-bahan yang bakal dipersembahkan banyak merujuk kepada kitab penulisan Imam al Haramain al ‘Allamah Ibnu al ‘Arabi al Tabbani bertajuk Bara’ah al Asy’ariyyin. Ia telah diringkaskan oleh al Allamah Prof. Dr. Isa ibn Abdullah Mani’ al Himyari, Mantan Pengarah Jabatan Waqaf dan Hal Ehwal Islam Dubai di dalam kitabnya yang bertajuk ‘al Fath al Mubin fi Bara’at al Muwahhidin min ‘Aqaid al Musyabbihin.