Thursday, 6 April 2023

Kaitan Di Antara Nombor 786 Dengan Bismillah

 Salam buat semua pembaca blog ku yang budiman... Post entry kali ni adalah untuk menjelaskan bagi  

persoalan yang telah lama bermain di fikiranku... Mungkin juga ada diantara para pembaca yang juga pernah mempersoalkan tentang perkara ini. Jadi post entry ni akan cuba memberi jawapanya. dan berharap anda dapat membacanya sehingga habis bagi kebaikan bersama. Persoalan mengenai nombor 786 bermula setiap kali bila pergi ke kedai mamak untuk pekena roti canai dan teh tarik mesti terpandang padang lambang bulan sabit dan bintang pastu siap ada nombor 786. Bila aku tanya pada orang semua kata ianya adalah melambangkan kallimah بسم الله الرحمن الرحيم  ,bila ditanya bagaimana 3 nombor itu sahaja boleh melambangkan kalimah tersebut , tiada seorangpun yang dapat memberi penjelasan bagi soalan itu..

Nombor 786 yang tertulis dalam lambang bulan dan bintang berasal dari jumlah nilai nisbah huruf 
بسم الله الرحمن الرحيم " . Penggunaan 786 ini dipercayai bermula pada zaman Abasiyyah. Melalui gaya penulisan arab baku, kalimah Bismillah... mengandungi 21 huruf, iaitu 7 (Bismillah ), 8 (Al-Rahman) dan 6 (Al-Rahim ) iaitu 7+8+6=21. 

Dengan menggunakan rumusan nisbah nilai nombor bagi huruf arab tersebut, maka ayat 
بسم الله الرحمن الرحيم dapat digantikan dengan nombor 786. Manakala nama Allah pula dapat digantikan dengan nombor 66 dalam penggunaannya sebagaimana rajah di bawah ini.
       
Nisbah bagi Bismillahir Rahmanir Rahim " dikira sebagai berikut:

2 + 60 + 40 + 1 + 30 + 30 + 5 + 1 + 30 + 200 + 8 + 40 + 50 + 1 + 30 + 200 + 8 + 10 + 40 = 786

Manakala nisbah bagi nama " Allah " dikira sebagai berikut:

alif + lam + lam + ha = Allah

1 + 30 + 30 + 5 = 66

Jadi dari nisbah inilah terhasilnya nombor yang boleh menjadi kekeliruan pada sesetengah orang.. Ada sesetengah pihak yang mempercayai dari nombor ini juga dapat memberi tuah dan bermacam-macam lagi fahaman yang boleh memesongkan akidah kita sebagai umat islam. Ayat dan tulisan dari Al-quran tidak boleh diubah-ubah.

Berikut adalah petikan fatwa yang mengharamkan penggunaan nombor 786 yang dianggap sebagai Basmalah:
Tajuk : Kepercayaan Terhadap Angka 786 Bermaksud  
بسم الله الرحمن الرحيم

Isu : Hukum mempercayai dan menyakini bahawa No 786 adalah
bermaksud بسم الله الرحمن الرحيم

Keputusan :

Alhamdulillah Fatwanya,

Kepercayaan terhadap angka 786 bermaksud  
بسم الله الرحمن الرحيم  , juga menyakini angka tersebut membawa tuah dan nasib yang sentiasa baik adalah satu kepercayaan yang salah dan bertentangan dengan aqidah  
أهل السنة والجماعة dalam syariah serta akhlak Islam.

Perbuatan ini juga termasuk didalam golongan mereka yang mentafsirkan Al-Qur’an mengikut hawa nafsu dan tidak berdasarkan kepada ilmu dan displin-displinnya dan tidak mendapat hidayah Allah S.W.T.

          Semua pihak yang terlibat hendaklah menghentikan kepercayaan dan penggunaan terhadap perkara ini dengan serta merta.

Oleh : Jawatankuasa Lujnah Fatwa Negeri Johor

Nombor 786 bukanlah salah satu ajaran Islam melainkan hanyalah semata-mata bid’ah. 786 hanyalah sebuah nilai yang tidak membawa sesuatu maksud pun malahan ia adalah satu bentuk penghinaan yang nyata sekiranya disamakan maksudnya dengan kalimah suci Basmalah. Sebagai umat Islam yang beriman bertaqwa, sama-samalah kita meninggalkan kefahaman karut ini yang dicipta untuk mengelirukan kefahaman umat Islam terhadap Al-Qur’an.
Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment