Soal Jawab Munakahat] Sekufu ? Apa
Kepentingannya Dalam Perkahwinan ?
Ditulis oleh : Ustaz Farid Rashidi
“Ustaz, saya ingin tahu tentang masalah sekufu?”
“Mudah saja masalahnya..tetapi jawapannya perlu kepada sedikit huraian.”
Memandangkan persoalan pernah dijadikan perbincangan umum maka saya cuba
membawakan sedikit penjelasan menurut perspektif syara’.
Apa itu sekufu?
Sekufu ialah persamaan di antara calon suami dan isteri daripada
beberapa sudut:
1. Beragama dan baik. Maksudnya lelaki fasik tidak sekufu dengan
perempuan solehah.
Dalam masalah ini, syara’ menganjurkan supaya mencari pasangan yang
sekufu dari sudut beragama dan baik akhlak budi bicara.
“Bagaimana pula seseorang berkahwin kerana mahu berdakwah dan mendidik
pasangannya?”
Sekiranya seorang lelaki yang kuat agama, alim dan tsiqah perilakunya
mahu menjadikan seorang perempuan yang cetek agama bertujuan untuk mendidik.
Ianya tidak menjadi kesalahan besar. Alhamdulillah jikalau itu matlamat dan
niatnya.
Tetapi seandainya perempuan yang baik dan beriman mahu berkahwin dengan
lelaki fasik atas dasar kerana mahu mendidik lelaki itu. Adalah tidak
digalakkan.
“Kenapa?” Muncul persoalan.
“Bukankah lelaki itu pemimpin wanita? Wanita itu sifatnya lemah lembut?
Cuba lihat sejauh mana seorang perempuan mampu mengubah seorang lelaki dengan
sifat keegoannya yang tinggi? Mampukah?…”
“Saya bimbang perempuan yang solehah pada asalnya, solat menjadi tiang
hidupnya, puasa menjadi makanan jiwanya, Quran menjadi penawar hatinya, hijab
menjadi pakaiannya akan lenyap, terhakis lalu tenggelam ditengah-tengah
perilaku si suami fasik..”
Saya kurang setuju dan syara’ juga mengambil kira hal ini.
Imam Ghazali pernah membicarakan mengenai faedah bernikah antaranya
ialah petunjuk dan satu pengislahan jalan beragama.
Sekiranya berkahwin dengan seorang lelaki fasik menambahkan kefasikan,
bagaimana mahu mendapat petunjuk melalui agama Islam dan beroleh barakah?
Sabda Baginda Rasulullah SAW:
Daripada Abi Hatim Al-Muzanni katanya, telah bersabda Rasulullah SAW:
“Apabila datang akan sekalian kamu orang yang kamu sukai agamanya dan
perangainya maka nikahkanlah olehmu akan dia jika tidak lakukan nescaya jadi fitnah
dibumi dan kebinasaan,” kata mereka itu: “Ya Rasulullah dan jika ada padanya
sekalipun?”
Sabda Rasulullah SAW:
“Apabila datang akan sekalian kamu orang yang kamu sekalian sukai
agamanya dan perangainya maka nikahkan akan dia, tiga kali.”
2. Pekerjaan. Lelaki yang mempunyai kerja yang rendah seperti
tukang sapu, tukang kebun, pencuci tandas tentulah tidak setaraf dengan anak
perempuan Mufti, lelaki alim, Qadi dan tokoh korporat.
“Kalau begitu, nampak seperti wujud kasta dan darjat keturunan?”
Perlu difahami, bukanlah sekufu itu mahu membezakan darjat dan keturunan
seseorang sehingga menganggap pekerjaan sedemikan rupa sebagai suatu pekerjaan
yang hina dina. Akan tetapi sekufu adalah bertujuan memberi kelebihan dan
kebebasan pihak wanita dan wali untuk memilih bakal menantunya.
Sudah tentu wali mahu melihat pilihan jodoh anak perempuannya adalah
yang terbaik.
3. Tidak mempunyai kecacatan yang boleh menyebabkan berlakunya fasakh
dalam perkahwinan.
Contoh lelaki yang mempunyai penyakit Aids HIV, gila, sakit kusta atau
sopak sudah tentu tidak sama ataupun setaraf dengan perempuan yang sihat.
Selain mendapat malu, dibimbangi juga akan berlaku kemudharatan kepada
wanita bilamana berkahwin dengan lelaki berpenyakit sebegitu.
Adakah sekufu antara syarat wajib?
Tidak, cuma dalam masalah sekufu ianya merupakan hak seorang perempuan
dan hak walinya.
Sekufu bukanlah antara syarat sah perkahwinan, ia hanya sebagai langkah
mengelakkan wanita dan walinya menanggung malu ataupun berlaku kekeruhan rumah
tangga kelak. Di antara tujuan sekufu ialah supaya pihak wanita tidak perlu
mengubah kebiasaan hidup mereka.
Nabi Muhammad SAW meraikan hak sekufu sebagaimana sabda baginda dalam
sebuah hadis bermaksud:
“Pilihlah bagi permata-permata kamu (anak-anak perempuan kamu) dan
kahwinkanlah dengan yang sekufu dan kahwinkanlah mereka kepadanya.”
(Riwayat Hakim: 2/163 Beliau mensahihkannya)
Oleh kerana ianya bukan menjadi syarat sah perkahwinan, maka pihak
wanita dan wali boleh saja menggugurkan syarat ini mengikut pandangan sendiri.
Dengan kata lain, sekiranya wanita dan pihak wali meredhai lelaki yang bakal
berkahwin tanpa melihat syarat sekufu maka nikahnya adalah sah.
Wallahhua’lam.
Rujukan:
Muhadharat fi Fiqh As-Sadah As-Syafi’eyyah, Doktor Khalifah Abdul Basit
Shahain, Kuliah Tahun 3, Universiti Al-Azhar, Tanta.
Fiqh Al-Manhaji, Oleh Dr.Mustofa Al-Khin, Dr.Mustofa Al-Bugho & Ali
Asy-Syarbaji.
Bahrul Mazi Syarah Mukhtasor Sohih At-Turmuzi, Syeikh Muhammad Idris
Abdul Rauf Al-Marbawi Al-Azhari.
Sumber : http://faridrashidi.com
No comments:
Post a Comment